suria

PRK Permatang Pauh: Calon Bebas Dakwa Disabotaj

Salleh ditemani sebahagian daripada AJK Perbaik pada sidang media pertamanya selepas disahkan bertanding sebagai calon Bebas dalam PRK Parlimen Permatang Pauh.

KEPALA BATAS: Calon Bebas, Salleh Isahak mendakwa disabotaj Parti Keadilan Rakyat (PKR) di awal kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang dipercayai bertujuan mencemarkan imejnya.

Dakwa Salleh, pihaknya mengesan pengedaran resume palsu yang menyebut kononnya beliau adalah ahli PKR dan pernah menjawat jawatan Setiausaha PKR Cabang Permatang Pauh.

"Imej saya sebagai calon Bebas telah tercalar. Saya kesal kerana terdapat unsur-unsur sabotaj diperingkat awal penamaan calon oleh segelintir pihak PKR.

"Jangan jadikan saya sebagai mainan politik PKR atau pihak-pihak lain," katanya pada sidang media di Kelab Golf Penang, Bertam pada Isnin.

Sehubungan itu, Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bakti Ikhlas Malaysia (Perbaik) membuat laporan polis mengenai penyebaran resume palsu itu di Balai Polis Bukit Mertajam pada Ahad.

Pada PRK Permatang Pauh, Salleh berhadapan saingan empat penjuru menetang calon Barisan Nasional (BN) yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin; Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Azman Shah Othman.

Mengulas lanjut mengenai penglibatannya dalam politik, Salleh berkata, beliau pernah menganggotai PAS sebelum menyertai Umno pada 1994.

Salleh yang kini menetap di Kampung Sungai Sintok, Permatang Pauh masih menjadi ahli Umno dalam Cawangan Alma, Bukit Mertajam.

"Namun untuk maklumat semua, sejak 2001 saya sudah tidak aktif dalam politik termasuk Umno dan hanya bergiat dalam NGO," katanya.



Artikel Lain