suria

Isu Laut Cina Selatan Jadi Tumpuan Hari Pertama Sidang Kemuncak Asean

KUALA LUMPUR: Isu pertikaian Laut China Selatan menjadi tumpuan hari pertama Sidang Kemuncak Asean Ke-26 di sini, yang bermula dengan Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean pada sebelah pagi, Isnin.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Asean akan mengekalkan pendekatan tidak berkonfrontasi dalam menangani isu pertikaian itu.

Beliau berkata, Asean telah bersetuju untuk mencari penyelesaian secara baik dan meneroka setiap ruang yang boleh memberi manfaat kepada semua, pertubuhan 10 negara anggota ini harus juga menghantar isyarat yang betul kepada China dan mengambil langkah yang wajar berhubung isu itu.

Beliau menambah kata Asean dan China harus mengelakkan sebarang tindakan yang tidak produktif terhadap keamanan dan kestabilan rantau ini.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Luar Thailand Jeneral Tanasak Patimapragorn berkata Asean dan kumpulan kerja bersama China mengenai kod tatalaku di Laut China Selatan, akan bertemu di Thailand pada Mei untuk membincangkan formula dokumen secara lebih terperinci.

Sementara itu, cadangan untuk mewujudkan zon waktu seragam bagi ibu kota Asean ditangguhkan berikutan wujudnya perbezaan pendapat dalam kalangan negara anggota perkumpulan serantau itu.

Menteri-menteri luar Asean turut merakamkan ucapan takziah mereka kepada kerajaan serta rakyat Nepal, India dan Bangladesh yang terlibat dalam kejadian gempa bumi teruk pada Sabtu lepas.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter itu melanda ibu negara Kathmandu dan bandar Pokhara di Nepal pada pukul 2.56 petang waktu Malaysia pada Sabtu.

Pada Perundingan ke-13 Menteri-menteri Ekonomi Asean-Pesuruhjaya Perdagangan EU, Asean mendapat pengiktarafan daripada Kesatuan Eropah (EU) di atas usaha dan komitmen untuk mewujudkan pasaran tunggal walaupun bukan suatu yang mudah.

Pesuruhjaya Eropah bagi Perdagangan Cecilia Malmstrom mencadangkan agar rundingan bagi perjanjian perdagangan bebas (FTA) Asean-Kesatuan Eropah (EU) disambung semula selepas Komuniti Ekonomi Asean (AEC) direalisasikan pada akhir tahun.

EU juga berikrar untuk menambah bantuan kepada Asean kepada 170 juta euro daripada 70 juta euro dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Semasa mesyuarat tersebut, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menekankan kepentingan Asean meningkatkan pembabitan dengan EU bagi memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua blok.

Pada Forum Kepimpinan Asean Ke-12, antara pemimpin yang menghadirinya ialah Perdana Menteri Kemboja Samdech Hun Sen, Presiden Myanmar U Thein Sein dan Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying.

Hun Sen dalam ucapannya berkata Kemboja memberi keutamaan kepada integrasi ekonomi dengan Komuniti Asean dan menganggapnya sebagai amat penting bagi mengekalkan pembangunan ekonomi negara itu.

Beliau menggalakkan para pelabur melabur dalam sektor seperti industri kecil dan sederhana, segmen komponen elektrik, pertanian, kraftangan, pelancongan serta pengangkutan dan logistik di negara itu.

Satu lagi sorotan pada hari ini ialah tumpuan kepada Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Shah yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Asean kerana sumbangan cemerlang baginda dalam pengajian Asean dan penyelidikan tentang Asia Tenggara.

Selain daripada itu, beberapa mesyuarat lain juga diadakan termasuk Mesyuarat Politik-Majlis Keselamatan Asean Ke-12 yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi Asean Ke-13, disusuli dengan Mesyuarat Majlis  Penyelarasan Asean (ACC) Ke-16.

Hari ini juga menyaksikan ketibaan beberapa ketua negara/kerajaan yang akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-26 esok yang dipengerusikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pemimpin yang tiba hari ini termasuklah Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung, Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-O-cha, Presiden Filipina Benigno S. Aquino III, Presiden Myanmar U Thein Sein dan Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong.

Hari pertama sidang kemuncak berakhir dengan majlis makan malam gala yang dihoskan oleh Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor sebagai meraikan Ketua-Ketua Negara/Kerajaan Asean.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain