KUALA LUMPUR: Penerbangan pertama misi membawa pulang rakyat Malaysia di Nepal dengan pesawat Hercules C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan, Kathmandu kira-kira pukul 7 pagi Selasa. Kaunselor/Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Kathmandu, Fadli Adilah berkata, penerbangan pertama itu membawa seramai 85 orang termasuk 13 peserta program Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Kelab Eksplorasi Tujuh Benua (KE7B). Mereka dijangka bermalam di kawasan lapangan terbang malam Isnin sementara menunggu penerbangan pada Selasa. "Bekalan elektrik di bandar Kathmandu masih terputus, makanan terpaksa dicatu dan talian perhubungan komunikasi dan penggunaaan internet agak terhad," katanya ketika dihubungi Bernama, malam Isnin. Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai rakyat Malaysia terkorban, cedera ataupun hilang. Sementara itu, seorang peserta KE7B yang juga wartawan BERNAMA TV, Nazahiyah Mohd Hadzir berkata, program kayuhan itu terpaksa dibatalkan susulan beberapa gegaran masih berlaku. Menurutnya semua peserta eksplorasi, rakyat tempatan dan pelancong terpaksa tidur di kawasan padang berikutan pihak berkuasa tidak membenarkan menginap di hotel atas faktor keselamatan. "Semasa tidur di kawasan padang pun masih merasai gegaran namun keadaan bandar masih terkawal walaupun tiada bekalan elektrik," katanya yang kini berada di lapangan terbang sementara menunggu arahan pihak berkuasa. Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku. Setakat ini, tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu, mencatatkan 3,218 kematian dan lebih 6,500 orang cedera.