suria

"Kalau Semua Orang Dalam Penjara Diberi Kelonggaran Susahlah"

Shafie Apdal

ROMPIN: Barisan Nasional (BN) membidas tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi kelonggaran untuk membuang undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei ini.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafir Apdal berkata, pakatan pembangkang seharusnya menghormati dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

"Tiada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang. Kalau semua orang dalam penjara diberi kelonggaran (untuk mengundi) susahlah. Undang-undang perlu dipatuhi.

"Dalam perundangan, kalau seseorang itu dipenjarakan maka dia kena duduk dalam penjaralah," kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media majis pecah tanah kawasan Rehat dan Rawat Kedaik dan penyerahan kunci untuk Program  Bantuan Rumah (PBR) Orang Asli di daerah ini, Isnin.

PKR pada Ahad meminta supaya kerajaan berikan kelonggaran kepada Anwar untuk turut membuang undi pada 7 Mei ini.

Anwar kini menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan saranan PKR itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Tak layak di bawah Perkara 119(3)(a) Perlembagaan Persekutuan," kata Abdul Aziz.

Perkara 119(3)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan: "Seseorang hilang kelayakan untuk menjadi pemilih dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan jika pada tarikh kelayakan dia ditahan sebagai orang yang tidak sempurna akal atau sedang menjalani hukuman pemenjaraan."


PKR, Anwar Ibrahim, Shafie Apdal, Umno, Rompin

Artikel Sebelum

Artikel Lain