suria

Wan Azizah Minta MB Selangor Bantu Urus DUN Kajang

Dr Wan Azizah Wan Ismail

BUKIT MERTAJAM: Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali akan membantu menguruskan kebajikan rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Azmin yang juga timbalan presiden parti itu diminta membantu menyelesaikan masalah penduduk DUN Kajang sekiranya beliau sekali lagi dipilih menjadi wakil rakyat di Permatang Pauh.

“InsyaAllah...saya Presiden parti dan timbalan saya menteri besar. Jadi kalau ada masalah, saya minta menteri besar bantu.

“(Saya) boleh handle dua-dua (kawasan) InsyaAllah. Berikan saya kesempatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis kuliah agama dan solat isyak di Masjid Saidina Abu Bakar, Taman Guar Perahu di sini, Isnin malam.

Sebelum ini, Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilaporkan mengingatkan Dr Wan Azizah yang juga Adun Kajang di Selangor supaya melunaskan janji kepada penduduk Kajang terlebih dahulu agar tidak dilihat sebagai pemimpin ‘touch n go’.

Kata Shahrizat, timbul persoalan adakah Dr Wan Azizah akan mampu menunaikan janji baharu kepada penduduk Permatang Pauh sedangkan penduduk di Kajang masih menagih janji dalam manifesto pemimpin PKR itu sewaktu PRK DUN Kajang tahun lalu.

Dr Wan Azizah mewakili DUN Kajang selepas menang dalam PRK di kawasan tersebut pada 23 Mac tahun lalu menerusi ‘Langkah Kajang’ yang dicipta PKR.

Pada PRK yang akan diadakan pada 7 Mei ini, Dr Wan Azizah berhadapan saingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin, Azman Shah Othman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon Bebas, Salleh Isahak.



Artikel Lain