LANGKAWI: Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri pertunjukan fesyen istimewa "Eleganza: Tekstil Malaysia" yang menampilkan koleksi batik dan songket terbaik negara di sini, Selasa. Turut hadir isteri Perdana Menteri Thailand Naraporn Chan-O-Cha dan isteri Naib Presiden Indonesia, Mufidah Jusuf Kalla. Sebanyak empat koleksi rekaan batik dan songket pereka fesyen terkemuka Datuk Radzuan Radziwill diperagakan kepada hadirin, yang kelihatan terpesona dengan rekaan mewah itu yang diperagakan di Paris baru-baru ini. Pereka Terbaik 2014 Anugerah Fesyen Stylo Bon Zainal pula bekerjasama dengan Candela buat julung kalinya untuk menampilkan rekaan batik geometrik dan menggunakan warna terang pada pertunjukan fesyen itu. Selain itu, koleksi batik Ruzz Gahara oleh pereka Nik Mohd Faiz ditampilkan dengan corak asli Malaysia untuk disesuaikan dengan gaya hidup kontemporari. Yayasan Tuanku Nur Zahirah, yang di bawah naugan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah, juga mengambil bahagian dalam pertunjukan fesyen itu. Yayasan itu mahu memulihara dan memperluaskan kraftangan dan warisan asli menerusi koleksi songket. Menteri PembangunanWanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim turut menghadiri pertunjukan fesyen itu, yang dianjurkan kementerian berkenaan. Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayut Chan-o-Cha dan Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla berada di sini untuk Sidang Kemuncak Asean Ke-26 dan Sidang Kemuncak Ke-9 Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) semalam dan Selasa.-- Bernama