KUALA LUMPUR: AirAsia X menawarkan penerbangan percuma ke Nepal mulai Rabu hingga 10 Mei, 2015, bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kemanusiaan untuk membantu usaha-usaha menyelamat berikutan kejadian gempa bumi baru-baru ini. Dalam kenyataannya, katanya syarikat penerbangan itu menawarkan penerbangan percuma bagi tempoh tersebut berdasarkan kekosongan tempat duduk. "Kami bersimpati dengan mereka yang terjejas akibat gempa bumi di Nepal dan kami berjanji untuk melakukan apa yang terdaya bagi mengurangkan kesedihan dan kesusahan yang dialami oleh mangsa, serta berdoa untuk keselamatan dan kesejahteraan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X Datuk Kamarudin Meranun. Semua NGO dan agensi kemanusiaan boleh menghantar permohonan mereka bagi penyelarasan penerbangan kepada AirAsia Foundation di [email protected]. AirAsia turut menyokong pemulihan Bali, Indonesia, selepas insiden pengeboman pengganas dengan memberikan 12,000 tempat duduk penerbangan percuma. Ia menyediakan penerbangan keselamatan dari Bangkok ke Kuala Lumpur pada November 2008 untuk membantu mereka yang terkandas berikutan penutupan lapangan terbang di Bangkok, dan usaha yang sama telah dilakukan di Padang dan Jakarta pada Oktober 2009 untuk membantu mangsa gempa bumi yang melanda Sumatera.