PETALING JAYA: Seorang ibu yang sarat mengandung lapan bulan daripada 104 rakyat Malaysia yang selamat tiba di tanah air dari Kathmandu, berkongsi pengalamannya menempuh detik-detik cemas semasa gempa bumi menggegarkan bumi Nepal, Sabtu lepas. Sheila Vandalasamy, 34, yang bekerja di bahagian Imigresen Kedutaan Malaysia di Nepal pulang bersama suaminya, A. Kumaraw, 37 dan 102 lagi warga Malaysia yang tiba dengan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang, dekat sini pada awal pagi Rabu. "Ini kali pertama kami mengalami kejadian ngeri melibatkan gempa bumi, sebelum ini memang ada gegaran, tetapi ia bersaiz kecil. Pagi itu (Sabtu) secara tiba-tiba rumah kami di Kathmandu bergegar. Kami segera bergegas keluar dari rumah setelah rumah bergoyang dan barangan turut pecah dan jatuh ke lantai," katanya. Sheila berkata, sebelum pasukan penyelamat tiba, setiap saat amat menakutkan berikutan ada gegaran kecil susulan dan semua bangunan bergoyang. Katanya, pengalaman menyaksikan mayat bergelimpangan di sebalik runtuhan dan teriakan orang ramai yang cuba menyelamatkan diri selain mencari orang tersayang, tidak akan dapat dilupakannya. Sementara itu, Nazahiyah Mohd Hadzir, 30, seorang daripada 13 peserta Kayuhan Altitud Tinggi Annapurna Kelab Eksplorasi Tujuh Benua yang ditemui Bernama di lapangan terbang berkenaan berkata ketika kejadian, beliau sedang membeli barangan keperluan di sebuah kedai runcit di bandar itu. Nazahiyah berkata, secara tiba-tiba bangunan kedai berkenaan bergegar dan beliau hampir tercampak keluar dari kedai ketika cuba menyelamatkan diri. "Saya lihat orang ramai bertempiaran lari, dan saya mendengar orang menjerit earthquake (gempa bumi)... saya nampak kedai mulai retak dan runtuh. Terdapat mayat bergelimpangan," katanya. Kesemua rakyat Malaysia yang berlepas pulang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu pada Selasa. Hadir menyambut ketibaan mereka adalah anggota keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di pangkalan TUDM sejak petang Selasa. Penerbangan pesawat TUDM berkenaan ke Kathmandu turut membawa 30 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta 20 pegawai perubatan daripada Mercy Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia bagi membantu usaha menyelamat mangsa gempa bumi berkenaan. Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya, Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku. Setakat ini, tragedi gempa bumi paling buruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu, dilaporkan telah mencatat kira-kira 5,000 kematian dan lebih 8,000 orang cedera.