ROMPIN: 'Di sebalik kejayaan lelaki ada wanita di belakangnya'. Pepatah ini tepat menggambarkan penglibatan Datin Rozidah Karim, isteri calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin yang turut turun padang membantu kempen suaminya itu. Ibu kepada empat anak itu hadir menemani Hasan dalam majlis malam mesra anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Daerah Rompin, di sebuah restoran di sini malam Rabu. Malah, anak perempuannya Farahiyah turut serta dalam majlis yang berlangsung hampir sejam dengan dihadiri kira-kira 200 masyarakat Cina di sini. Kehadiran sejumlah besar masyarakat Cina pada majlis itu membuktikan BN masih lagi diterima golongan tersebut. Ketika ditemui selepas tamat majlis itu, Rozidah yang kelihatan ceria memberitahu, disebalik kesibukan suaminya dalam berkempen, mereka sempat 'curi-curi masa' meraikan ulang tahun ke-62 Hasan malam Selasa walaupun sekejap. "Lepas isyak kami sempat makan pulut kuning dengan dia, itupun 20 minit sahaja semasa kenduri kampung di Muadzam Shah malam semalam (Selasa)," katanya. Sementara itu, Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin berkata, sambutan ulang tahunnya pada kali ini agak berbeza berbanding sebelum ini. "Sempat rai sikit-sikit tapi ini kali pertama tidak raikannya bersama keluarga di rumah. Apa yang penting fokus terus diberikan kepada kempen di Rompin," katanya. Mengulas mengenai kempen yang memasuki hari kelapan pada Khamis, beliau berkata hanya tidur tiga hingga enam jam sehari. "Jadual agak padat dari pagi hingga malam, saya hanya tidur tiga dan empat jam sehari. Memandangkan perjalanan dari satu kawasan ke satu kawasan agak jauh, saya ambil peluang itu untuk melelapkan mata," katanya. Hasan berkata untuk memastikan dirinya kekal cergas setiap hari, beliau mengamalkan pengambilan suplemen bersesuaian dan jarang makan pada waktu malam. "Saya ambil suplemen untuk kekal cergas setiap hari kerana tidur saya tidak menentu pada ketika ini," katanya. PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon PAS yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad, 40.