BUTTERWORTH: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan akur isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berhubung kad tambah nilai prabayar diserahkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. "Saya akur arahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak akan bercakap pasal kad prabayar," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai arahan Najib supaya Ahmad Shabery mengendalikan isu itu. Pada masa sama, Ahmad menjelaskan beliau tidak pernah berkata kad prabayar tidak dikenakan GST sebaliknya mendakwa kenyataannya disalahertikan oleh beberapa portal berita. "Tidak pernah saya kata tambah nilai (prabayar) tidak ada GST...saya konsisten dari dulu...jangan salah petik kenyataan saya," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Pasar Raya Besar Mydin di Jalan Baru, di sini. Ditanya mengenai desakan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sim Tze Tzin supaya beliau meletak jawatan kerana gagal mengendalikan isu kad prabayar, Ahmad berkata jawatan yang dipegangnya adalah kehendak Perdana Menteri dan beliau tidak ada hak untuk mempersoalkannya. Menurutnya beliau bersedia dari segi minda dan fizikal setiap hari untuk berdepan dengan kritikan mengenai pelaksanaan GST. "Harapan saya, GST akan lebih difahami kerana kita berhadapan dengan ramai peniaga yang tidak beretika. GST dicemari peniaga yang tidak beretika," katanya. Sehubungan itu, Ahmad meminta rakyat supaya lebih bersabar kerana keadaan akan kembali stabil dalam masa enam bulan. "Harga kereta sudah menunjukkan penurunan selepas sistem cukai itu dilaksanakan 1 April lepas," katanya. Beliau berkata Kastam Diraja Malaysia juga telah membuka 45 kertas siasatan berhubung GST dan beberapa kes akan didakwa minggu depan.