suria

PRK Rompin: Calon PAS Nafi Kempen Tidak Dapat Sokongan DAP

Nazri Ahmad
MUADZAM SHAH: Calon PAS, Nazri Ahmad menolak dakwaan bahawa kempennya pada Pilihan Raya Kecil (PKR) Parlimen Rompin tidak mendapat sokongan DAP.

Sebaliknya, beliau berkata DAP telah mewakilkan pimpinan di peringkat negeri untuk membantu kempennya.

"Ada (DAP) tolong kempen tapi media tak ikut... penamaan calon pun ada Naib Presiden PKR... Pengerusi DAP Pahang. 
Sepanjang kempen mereka ada.

"Memadailah (Pengerusi DAP Pahang) wakili DAP... tak perlulah semua datang," katanya ketika ditemui pemberita semasa mengadakan walkabout bertemu peniaga di tapak pasar malam di sini, Sabtu.

Terdahulu, mStar Online melaporkan sumber dalaman yang rapat dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu faktor ketidakhadiran pemimpin tertinggi DAP adalah bagi meredakan krisis antara PAS dan DAP.

Malah, menurut sumber itu juga ia bagi mengelakkan isu hudud yang masih panas terus dibangkitkan sehingga boleh menjejaskan tumpuan pakatan rakyat pada PRK Rompin dan Permatang Pauh.

Sementara itu, Nazri turut mengakui kempennya tidak terjejas akibat dakwaan beliau menceroboh secara haram tanah milik Felda untuk membina Maahad Tahfiz Al-Ahmadi kendaliannya di Felda Keratong 5 di sini.

"Tak... sebab itu satu tuduhan tak berasas," katanya ringkas.

Pada Jumaat, Nazri menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan tapak berkenaan sebahagian tanah diberikan Felda kepada keluarganya pada tahun 2000 untuk membina kilang keropok ikan yang sebelum itu dibina berhampiran kediaman peneroka lain dan tidak lagi sesuai.

Malah, beliau berkata sokongan yang diterimanya sehingga hari ini cukup baik berikutan rakyat terkesan dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan isu Felda yang gagal ditangani kerajaan.
PRK Rompin, Nazri Ahmad

Artikel Lain