suria

Sultan Selangor Lancar Buku Mengenai Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Sabtu berkenan melancarkan buku 'His Royal Highness Sultan Nazrin Shah Reflections and Recollections', mengandungi artikel yang dihasilkan penulis dari dalam dan luar negara yang mengenali Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat ke majlis pelancaran itu Sultan Nazrin Shah, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan bonda Sultan Nazrin, Tuanku Bainun.

Penerbitan buku tersebut dihasilkan khusus sebagai persembahan kenangan daripada 28 penulis terdiri daripada kenalan peribadi Sultan Nazrin, ahli akademik, para wartawan, penggiat sosial dan mereka yang pernah berurusan dengan baginda, bersempena pertabalan baginda sebagai Sultan Perak ke-35.

Sultan Sharafuddin bertitah penerbitan buku ini merupakan usaha menghidupkan semula tradisi hubungan istana dan kesultanan Melayu dengan dunia penulisan dan persuratan.

"Melalui penerbitan ini, para penulis berpeluang merakamkan catatan kasih, semangat kesetiaan dan sembah penghargaan kepada seorang Sultan.

"Ia juga sangat bertepatan dengan watak keperibadian intelek Paduka Adinda, seorang putera raja dan hari ini telah dimasyhurkan sebagai Sultan yang amat meminati buku dan dunia persuratan," titah baginda pada majlis pelancaran buku itu di sini, Sabtu.

Buku terbitan RNS Publications setebal 265 muka surat ini mengandungi 30 esei.

Sultan Sharafuddin bertitah perkenan untuk memberi restu kepada usaha penerbitan itu adalah pendirian yang bukan sahaja menghidupkan tradisi malah bertepatan dengan identiti keilmuan yang Sultan Nazrin miliki.

Sultan Nazrin juga membuat salinan naskhah bahan penulisan lama berkaitan sejarah, pemerintahan negeri Perak yang kini tersimpan di arkib dan perpustakaan luar negara untuk ditempatkan di arkib negeri bagi tujuan rujukan, titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah Sultan Nazrin juga sedang aktif mengusahakan penerbitan semula bahan-bahan yang pernah dihasilkan oleh Raja dan pujangga terdahulu.

"Usaha Paduka Adinda itu tentunya akan dapat memberi manfaat besar kepada generasi hari ini dan generasi akan datang.

"Ketika rakyat pada hari ini terutama generasi muda yang kelihatan semakin tenggelam dan semakin kabur dengan sejarah bangsanya, usaha sedemikian akan dapat menyedarkan kembali rakyat hari ini tentang sejarah bangsa dan negara," titah baginda.

Dalam pada itu Sultan Sharafuddin bertitah penglibatan dalam bidang penulisan merupakan sebahagian daripada identiti kerabat Diraja Perak.

Antaranya pada abad ke-18, Raja Chulan telah menghasilkan Hikayat Misa Melayu yang diiktiraf sebagai satu daripada karya agung, karya 'Risalah Iskandar Shah: Beberapa Pengajaran, Ingatan dan Nasihat secara Bicara Tauhid, Fikah dan Tasauf' hasilan Paduka Seri Sultan Iskandar Shah di era pemerintahan baginda.

Sultan Selangor, Sultan Perak

Artikel Sebelum

Artikel Lain