suria

Novel Tarikan Utama Pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Novel merupakan tarikan utama bagi pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang berakhir pada Ahad.

Pegawai Pemasaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015, Suzanna Hadi berkata,  rata-rata pengunjung yang hadir ke pesta buku tersebut lebih cenderung untuk mendapatkan novel.

"Buku yang paling banyak dijual setakat ini adalah novel kerana terdapat banyak pilihan yang boleh di dapati di sini.

"Pihak penganjur telah menyediakan satu tempat khas untuk menghimpunkan novel-novel yang dijual bagi memudahkan para pengunjung untuk membeli pilihan mereka.

"Lejen Press dan Fixi merupakan antara syarikat yang mencatatkan jualan novel tertinggi di pesta buku ini, " katanya kepada mStar Online.

Sementara itu Pengerusi Pengelola,  Abd Wahab Ibrahim berkata, pesta buku tahun ini lebih berjaya berbanding sebelum ini.

"Kami mensasarkan 2.5 juta orang yang akan hadir pada pesta buku tahun ini. Alhamdulillah dari hari pertama sehingga hari ini, hampir 2.6 juta pengunjung telah datang ke sini," jelasnya.

Abd Wahab juga menganggap sambutan hebat yang diterima oleh orang ramai mengenai pesta buku ini menunjukkan rakyat Malaysia masih gemar membaca.

"Daripada jumlah kunjungan yang diperolehi, saya percaya masih ramai rakyat Malaysia yang masih menghargai buku dan ilmu.

"Mereka merupakan pengguna yang berkualiti kerana kebanyakan yang hadir ke pesta buku ini adalah untuk mendapatkan buku tertentu dan tidak hanya membuang masa," kata Abd Wahab lagi.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tahun ini berjaya mengumpulkan 239 syarikat penerbitan dari dalam dan luar negara dan terdapat lebih dari 900 gerai jualan yang disediakan.

Artikel Lain