suria

Wanita Ditahan Berhubung Nahas Di Lebuhraya DUKE

Nahas yang berlaku di Lebuhraya DUKE pada awal pagi Sabtu menyebabkan tiga beranak maut.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita berusia 35 tahun yang dipercayai memandu kereta Myvi yang terlibat dalam nahas yang mengorbankan tiga beranak di Km 6.2 Lebuhraya Duke di sini awal pagi Sabtu.

Polis kini memburu seorang lagi pemandu Myvi, di mana menurut saksi, ia berlumba dengan empat lagi Myvi ketika kejadian yang berlaku pada pukul 1.05 pagi.

Pasangan suami isteri Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa yang terkorban dalam kemalangan itu menyebabkan dua lagi anak perempuan mereka kini menjadi yatim piatu.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Markandan Subramaniam berkata, wanita itu ditahan semasa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Dia sedang memandu kereta Myvi yang melanggar kereta Pajero yang dipandu mangsa. Kita turut mengenal pasti pemandu sebuah lagi Myvi yang melanggar kereta mangsa sebelum terbabas dan berpusing beberapa kali," katanya.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana kecuaian memandu.

Saksi di tempat kejadian berkata, suspek sedang berlumba dengan empat lagi Myvi sebelum kemalangan berlaku.

Pemandu bagi kereta Myvi kedua melanggar kereta mangsa dan mereka yang lain dalam perlumbaan itu melarikan diri.

Fairuz yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di HKL.

Dilaporkan ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis perkahwinan di Putrajaya.

Pasangan itu mempunyai dua lagi anak perempuan, Nur Firuza Amira, 7, and Nur Firuza Akila, 3.

Artikel Berikut

Artikel Lain