ROMPIN: Cuti umum yang terlalu panjang mungkin menjadi faktor peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin hanya 74 peratus daripada keseluruhan pengundi 53,294 orang, berbanding sasaran awal sebanyak 80 peratus. Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kemungkinan pengundi di Rompin telah membuat perancangan awal sempena cuti panjang dan menyebabkan mereka tidak keluar mengundi pada hari ini. "Pengundi di Rompin mendapat cuti selama lima hari berturut-turut bermula Jumaat (cuti Hari Pekerja dan diikuiti dengan 4 Mei cuti ganti Hari Wesak yang jatuh pada hari Ahad), dengan 5 Mei diumumkan sebagai cuti peristiwa dan pada 7 Mei pula cuti umum negeri simpena Hari Hol. "Jadi mungkin sudah ada pengundi yang mengambil cuti pada 6 Mei, menjadikan mereka terus mendapat cuti selama seminggu," katanya kepada Bernama di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, Selasa malam. Sehubungan itu, Abdul Aziz berkata SPR akan mengadakan 'bedah siasat' terhadap penurunan itu, yang disifatkan beliau sebagai ketara jika dibandingkan dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 86 peratus atau 46,035 pengundi pada pilihan raya umum ke 13 pada Mei 2013. Selain itu, mengulas mengenai perjalanan pengundian hari ini, Abdul Aziz berkata beliau berpuas hati secara keseluruhannya, walaupun berlaku sedikit perkara yang tidak diingini seperti tindakan segelintir penyokong parti merayu undi selepas tempoh rasmi berkempen tamat. "Saya juga gembira dengan peratusan keluar mengundi pada sebelah pagi, yang begitu tinggi iaitu purata peningkatan sebanyak 15 peratus setiap jam bagi tiga jam awal selepas pusat mengundi dibuka pada pukul 8 pagi. "Namun, peratusan ini kemudiannya turun secara mendadak selepas jam 12 tengah hari sehingga tamat tempoh mengundi pada pukul 5 petang," katanya. Abdul Aziz juga berkata PRK Rompin membawa 'cabaran' tersendiri kerana secara peribadi kawasan parlimen itu adalah PRK yang paling besar yang pernah dihadapinya, yang seluas Melaka dan Negeri Sembilan. "Malah, kawasan ini juga mencabar dari segi lojistik kerana kedudukan kawasan jauh, selain perlu menggunakan helikopter kerana terdapat pusat mengundi di Pulau Tioman," katanya. Abdul Aziz juga gembira dengan perancangan yang dilakukan semua pihak terlibat dalam PRK itu, sehingga membolehkan proses pengundian hari ini berjalan lancar, dan keputusan juga dapat diumumkan seperti yang dijangka. Pada PRK ini, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin menewaskan calon PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi setelah meraih 23,796 undi berbanding Nazri yang mendapat 14,901 undi. PRK itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.