suria

Penganggur Dipenjara Empat Tahun Pecah Masuk Rumah Eksekutif IT

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memecah masuk rumah seorang eksekutif teknologi maklumat dan melarikan barangan bernilai RM30,000.

Hakim Azman Mustapha mengarahkan Mohd Tarmimi Azrul Mohamad Fauzi, 33, menjalani hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap pada 30 April lalu.

Dia didakwa melakukan pecah masuk ke atas sebuah unit penthouse milik NurSyahida Jusoh dan mencuri barang-barang kemas, beberapa utas jam tangan, wang tunai AS$3,700, tablet kanak-kanak dan sebuah beg galas yang semuanya bernilai RM30,000.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan di Southern Bistari Condo Off Jalan Putra di sini pada pukul 12.15 pagi 21 April lepas di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat untuk kesalahan berulang.

Menurut fakta kes, pada masa kejadian Nur Syahida sedang tidur di bilik tidurnya apabila terdengar pintu bilik tidur dibuka oleh seseorang.

Apabila bangun beliau nampak tertuduh dan apabila menyedari sudah dilihat, Mohd Tarmizi Azrul melarikan diri.

Nur Syahida kemudiannya menghubungi suaminya yang kemudiannya pulang bersama seorang pengawal keselamatan.

Pasukan polis yang menyiasat telah menemui kesan cap cari suspek di almari pakaian bilik tidur utama dan telah menangkap Mohd Tarmizi Azrul di Batu Caves, Selangor.

Pemeriksaan di rumahnya menemui beberapa barangan yang dilapor hilang. Dalam rayuan, Mohd Tarmizi Azrul, yang tidak diwakili peguam, meminta hukuman diringankan kerana dia terpaksa menyara tiga anak dan bapa mertuanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, S. Malini Anne meminta hukuman yangberat memandangkan jenayahnya merupakan kesalahan serius dengan mengambil kira trauma yang dialami oleh mangsa apabila melihat pencuri berada di dalam kediamannya.

Artikel Lain