suria

Dr Wan Azizah Kembali Ke Permatang Pauh

Dr Wan Azizah sebaik diumumkan memenangi PRK Parlimen Permatang Pauh di IKBN, Khamis.

BUKIT MERTAJAM: Menepati ramalan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akhirnya kembali menduduki kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas menang dengan majoriti  8,841 undi.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang memperoleh 30,310 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, PKR yang diwakili Datuk Seri Anwar Ibrahim menang dengan majoriti 11,721 undi.

Sementara itu menurut Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Jusni Ismail, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Azman Shah Othman mendapat 101 undi manakala calon Bebas, Salleh Isahak mendapat 367 undi.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus PRK Permatang Pauh kira-kira pukul 10.15 malam.

Dr Wan Azizah ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menerimanya untuk kembali berbakti di Permatang Pauh.

"Saya percaya Anwar akan merasakan betapa terhutang budinya dia kepada rakyat Permatang Pauh," katanya.

Hadir sama meraikan kemenangan Dr Wan Azizah di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini ialah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan pimpinan Pakatan Rakyat. Bagaimanapun Suhaimi tidak hadir di IKBN.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Anwar  hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah disabitkan kesalahan liwat dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.


Artikel Lain