MIRI: Polis Miri berjaya menyelesaikan kes samun wang berjumlam RM478,619.30 milik sebuah pasar raya terkenal di sini dalam tempoh 48 jam berikut tertangkapnya empat suspek lelaki rakyat tempatan termasuk seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal. Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, koperal tersebut berumur 34 tahun ditangkap, Khamis, manakala tiga suspek lain berumur antara 53 dan 55 tahun yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab membawa wang milik pasar raya itu ditangkap lewat petang Rabu. "Kita telah berjaya selesai kes samun yang terbesar pernah berlaku di bandaraya Miri dalam tempoh 48 jam dan mendapatkan kembali wang tunai yang disamun berjumlah RM378,587 yang dirampas ketika tangkapan dibuat ke atas koperal itu" katanya dalam sidang media di sini, Khamis. Tian Kee berkata, koperal polis tersebut yang mempunyai seorang isteri sedang mengandung ditahan di kediamannya di Taman Tunku dan polis kini sedang dalam proses memohon tahanan reman manakala tiga suspek lain kini ditahan reman selama tujuh hari. "Selain wang tunai turut dirampas enam keping resit pembelian perabot dan alatan rumah dianggarkan bernilai lebih RM13,000, telefon bimbit dan topi keledar," katanya sambil menambah polis kini sedang menyiasat peranan dimainkan oleh anggota PGA tersebut. Tian Kee berkata, polis kini sedang menyiasat kes itu dari segala sudut dengan kemungkinan ada suspek-suspek lain terlibat dan bebas. "Buat masa ini kita tidak dapat mengesahkan sama ada koperal tersebut bertindak sebagai dalang utama ked samun ini, siasatan masih berjalan," katanya. Dalam kejadian berlaku pada pukul 11.55 pagi Selasa lepas, dua perompak bersenjata telah menyamun seorang pengawal keselamatan yang sedang membawa wang hasil keuntungan sebuah pasar raya. Semasa kejadian mangsa iaitu pengawal keselamatan sedang berjalan kaki ke arah van keselamatan membawa wang berkenaan dan secara tiba-tiba seorang suspek mengacukan dengan selaras senapang patah ke arah mangsa. Mangsa cedera di telinga kiri dipukul menggunakan belakang senapang patah sebelum dua suspek berkenaan berjaya melarikan diri dengan membawa wang hasil samun itu menggunakan motosikal.-- Bernama