PETALING JAYA: Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik memberi pelbagai pendapat berhubung saranan untuk memberi peluang kedua kepada pelajar Malaysia di London, Nur Fitri Azmeer Nordin yang bersalah memiliki bahan pornografi kanak-kanak. Ada pihak bersetuju dengan cadangan itu dan menganggap ia sebagai pengajaran yang berguna kepada pelajar tersebut yang boleh menjadi panduan kepada masyarakat, manakala, di pihak lain pula berpendapat ia sebagai tindakan tidak rasional kerana kesalahan yang dilakukan terlalu berat dan melibatkan jenayah. Shahrul Nasrun Bagi Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, beliau berpendapat adalah wajar pelajar itu diberi peluang kedua bagi membina semula kehidupannya. Katanya, Nur Fitri sudah menerima hukuman dan apa yang dilalui itu boleh menjadi pengajaran serta memberi kesedaran kepada masyarakat. "Peluang kedua itu bagaimanapun perlu menjadi yang terakhir baginya dan Nur Fitri seharusnya diberi bimbingan semula untuk menjadi seorang insan yang lebih baik. "Setiap orang ada melakukan kesilapan dan belajar daripada perkara itu, saya yakin dengan bimbingan ramai termasuk ibu bapanya di sini, dia boleh kembali meneruskan kehidupan baru," ujarnya. Bagi, Presiden Gabungan Pelajar Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim pula, peluang kedua bersyarat perlu diberikan kepada pelajar tersebut. Katanya, pelajar itu perlu diberi bimbingan dan pemulihan akhlak dan mendalami agama, disamping meneruskan pengajiannya di sini. "Dia pelajar yang bijak dan kita lihat pencapaiannya daripada sekolah menengah hingga ke universiti sangat memberangsangkan, jadi kita tidak boleh membuang dia begitu sahaja. "Pelajar yang bijak memang sering terdedah dengan pelbagai masalah terutama apabila dia bersendirian di negara luar. "Dia wajar diberi peluang jika dia mahu berubah," katanya. Selain itu, Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Manap berkata, kerajaan tidak boleh menutup peluang belajar kepada Nur Fitri atas kesalahan yang dilakukan itu. Katanya, pelajar tersebut berhak untuk belajar dan meneruskan pengajiannya sekalipun berada di penjara. "Setiap orang ada hak untuk belajar dan begitu juga dia. Kalau tidak mahu dia memberi pengaruh buruk kepada pelajar, mungkin boleh tempatkan dia di bilik berasingan untuk beberapa bulan. "Apa yang penting ialah pulihkan sahsiah dia dahulu menerusi sesi pemulihan dan kauseling," ujarnya. Bagaimanapun, Exco Pemuda Umno, Ibdilillah Ishak berpendapat tindakan memberi peluang kedua kepada pelajar tersebut adalah keputusan tidak rasional. Katanya, pelajar tersebut harus dihukum seberat-beratnya kerana melakukan sesuatu jenayah yang serius dan tidak patut diberi peluang atas alasan apa sekalipun. "Ini bukan kerana pelajar tersebut genius atau sebagainya. Ini adalah soal jenayah dan salah laku yang patut dihukum sewajarnya agar menjadi pengajaran kepada masyarakat," katanya.