BUKIT MERTAJAM: Insiden keganasan dan kekecohan antara penyokong pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN) mencemari suasana Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang berlangsung pada Khamis. Bermula dengan ‘perang mulut’, ketegangan kedua-dua penyokong berkenaan akhirnya tidak terkawal hingga berlakunya insiden tumbuk-menumbuk. Lebih buruk apabila pegaduhan tersebut turut mencederakan seorang petugas media dari portal berita KLXpress, Mahathir Mohammad. Mangsa dipukul dalam kejadian kekecohan di luar pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tanah Liat di sini. Namun tidak dapat dipastikan individu yang memukul mangsa terdiri daripada pihak mana. Selain itu kekecohan turut dikesan berlaku di bawah jejambat berhampiran pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Seri Penanti. Bagaimanapun penyokong daripada Pakatan Rakyat dan BN yang berkumpul di bahu jalan hanya berperang mulut hingga menyebabkan kesesakan teruk sepanjang empat kilometer. Sesekali kumpulan berkenaan bertindak agresif khususnya ketika sebuah kenderaan jenis Kancil dengan bendera PKR yang melintasi kawasan itu membawa replika mayat berbungkus kain putih. Tindakan provokasi itu mengundang kemarahan di kalangan penyokong BN. Namun tiada kejadian tidak diingini berlaku terhadap kenderaan terbabit. Kekecohan turut berlaku di beberapa lokasi lain seperti di Kubang Semang dan Guar Perahu namun berjaya dikawal oleh anggota polis.