KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disaran supaya menguatkuasakan semula sistem mata demerit sebagai langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pengasas Kelab Motosikal Kuasa Tinggi Independent Regiment, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, peraturan itu dapat mendorong pemandu supaya lebih berhemah di jalan raya dan tidak melanggar peraturan yang akan menjejaskan lesen memandu mereka. "Kita mahu kerajaan memperkenalkan semula sistem demerit supaya pemandu di Malaysia ini lebih mematuhi undang-undang dan lebih berdisiplin. "Penguatkuasaan undang-undang di Malaysia menerusi saman seperti sudah tidak lagi digeruni, malahan ramai yang tidak bayar saman," ujarnya kepada mStar Online. Beliau ditemui selepas menziarah dua anak mangsa iaitu Nur Firuza Amira,7, dan Nur Firuza Akila, 3 di kediaman mangsa, di Batu Caves, di sini, Khamis. Tambahnya, sekarang adalah masa paling sesuai untuk pihak JPJ menguatkuasakan semula sistem tersebut sebagai salah satu cara mengajar pemandu menjadi lebih berdisiplin. Selain itu, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang jalan raya secara berterusan juga perlu dilakukan oleh JPJ untuk mengurangkan aktiviti tidak sihat. "Selalunya penguatkuasaan hanya diketatkan pada musim-musim perayaan atau apabila berlaku sesuatu kejadian sahaja. "Ia sepatutnya lebih proaktif dan berterusan supaya mereka tidak ada ruang untuk melakukan aktiviti berbahaya," ujarnya. Selain itu, tambah beliau, kelab-kelab kereta dan motor juga perlu bertanggungjawab terhadap ahli-ahli mereka agar tidak melakukan perkara yang melanggar peraturan jalan raya. "Kita seharusnya mengenali ahli kelab yang mendaftar dan pada saya kalau terlalu ramai susah untuk mengawal mereka hingga matlamat dan tujuan utama penubuhan kelab tersasar," katanya.