PETALING JAYA: Pemuda Umno menyatakan kebimbangannya ke atas pembelian sebidang tanah di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Lembaga Tabung Haji (TH) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Ketuanya Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, keperluan TH untuk membuat pelaburan adalah diterima, memandangkan pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada para pendeposit TH dalam bentuk dividen. Bagaimanapun, beliau berkata subjek pertikaian dalam pembelian tanah TRX adalah bagaimana transaksi itu dijalankan. Beliau menggesa Kementerian Kewangan mengesahkan berapa harga yang dibayar oleh 1MDB untuk tanah keseluruhan TRX. "Daripada itu berapa harga yang dibayar oleh 1MDB secara pro rata bagi tanah yang dijual kepada TH sebesar 1.56 ekar ini?," soal beliau dalam kenyataan tersebut. Beliau juga bertanya sama ada TH telah membuat bayaran penuh bagi tanah TRX itu. "Kami menggesa soalan-soalan ini dijawab dengan segera. "Tujuan soalan-soalan ini ditanya adalah untuk mendapat pencerahan lebih lanjut memandangkan pembelian yang dibuat oleh TH ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengundang kemarahan rakyat," katanya. Katanya, umum mengetahui isu 1MDB ini sudah menjadi semakin runcing dan Pemuda Umno amat risau sekiranya institusi seperti TH digunakan untuk menyelamatkan 1MDB. "Sebarang usaha untuk menyelamatkan 1MDB yang boleh merugikan rakyat tidak boleh diterima," katanya.