KUALA LUMPUR: Kerajaan terus komited untuk menambah baik dasar berkaitan mengurangkan kos sara hidup yang telah dilaksana selain memperkenalkan dasar baharu bagi membantu rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. Dalam hal ini, perdana menteri berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan pelbagai pihak. "Menangani kos sara hidup adalah keutamaan tertinggi dalam penelitian setiap keluarga dan sebab itulah kerajaan memperkenalkan pelbagai kaedah dan cara (untuk mengurangkan kos sara hidup). "Mungkin tidak lengkap tetapi macam-macam usaha yang telah kita lakukan. Ada yang diketahui ada juga yang tidak diketahui, ada secara langsung dan ada juga secara tidak langsung," katanya berucap merasmikan Sidang Meja Bulat dan Bicara Kos Sara Hidup Pemikir Muda Malaysia di Bangi pada Sabtu. Menjadikan sektor pendidikan tinggi sebagai contoh, beliau berkata sudah ada elemen subsidi oleh kerajaan yang dinikmati golongan pelajar seperti tiada kenaikan yuran pengajian di universiti. Malah, Najib menarik perhatian bahawa secara purata kerajaan menanggung sebanyak 90 peratus kos pengajian tinggi di negara ini manakala pelajar hanya membiayai 10 peratus sahaja kos tersebut. "Jika tidak mampu menanggung kos 10 peratus itu, kerajaan menyediakan pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan ada antara pelajar kita yang mendapat biasiswa," katanya. Beliau berkata di Malaysia soal pendemokrasian pendidikan atau akses kepada pendidikan berkualiti tidak bergantung kepada kemampuan kewangan sebaliknya keinginan dan kesungguhan seseorang itu untuk belajar. Katanya keadaan itu berbeza dengan banyak negara lain di mana rakyat mereka tidak mampu melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi disebabkan kos pengajian yang tinggi. "Tapi di Malaysia, walaupun berasal daripada keluarga yang tidak berpendapatan tinggi tetapi masih mampu menjejak kaki di universiti kerana dasar kerajaan, kita percaya bahawa setiap insan berpontensi untuk belajar kepada peringkat sehabis tinggi," katanya. Najib turut menyentuh mengenai perkhidmatan kesihatan yang disediakan kerajaan seperti Klinik 1Malaysia dan hospital kerajaan yang mengenakan bayaran yang sangat rendah untuk rakyat mendapatkan rawatan. Katanya kerajaan juga menyediakan perumahan mampu milik untuk rakyat dengan sasaran untuk membina hampir satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun termasuk yang dikhususkan kepada golongan belia. "Kita ada Skim Perumahan Belia yang mana kerajaan memberi RM200 kepada 20,000 belia yang telah berkahwin untuk tempoh dua tahun pertama bagi mengurangkn beban ansuran pinjaman bulanan perumahan dan pengecualian 50 peratus duti stem ke atas perjanjian pinjaman," katanya. Najib berkata pelbagai lagi dasar dan langkah lain yang diperkenalkan kerajaan merangkumi pelbagai perkara seperti pengangkutan awam dan pembiayaan keusahawanan yang diharap dapat membantu rakyat mengurangkan kos sara hidup. Turut hadir pada majlis itu isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Pemikir Muda Malaysia Mohd Rafiq Naizamohideen dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.