suria

Empat Sekeluarga Tinggal Sehelai Sepinggang

GEORGE TOWN: Seorang ibu tunggal dan tiga anaknya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Telok Tempoyak, Batu Maung dekat sini awal pagi Sabtu.

Sapiah Wan Chek, 46, berkata lima motosikal jirannya yang diparkir di bawah rumah pusaka peninggalan ibu bapanya turut musnah dalam kejadian 1.40 pagi itu.

Beliau berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada api ubat nyamuk yang kemudian menyambar fius elektrik dalam bilik tidur anak perempuannya.

"Anak saya terjaga dari tidur bila terasa bahang api dan dia cepat-cepat turun ke bawah. Masa itu saya belum tidur lagi," katanya kepada pemberita.

Beliau yang bekerja di kilang kopi di Bayan Lepas berkata sebaik mereka sekeluarga keluar dari rumah, api telah menjulang tinggi sehingga turut menyambar pokok mempelam dan bumbung perhentian bas yang terletak di tepi rumah mereka.

Sapiah berkata kebakaran turut memusnahkan barangan persekolahan anaknya.

"Anak saya di Tingkatan 3 ada ujian PT3 bulan Jun ini, seorang lagi akan hadapi peperiksaan percubaan SPM pada hujung bulan Ogos. Habis terbakar rak buku dan meja belajar mereka," katanya.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mohd Rohizat Yusof berkata rumah papan itu musnah 90 peratus dan yang tinggal hanya sedikit struktur pada bahagian batu bata.

Pihaknya sempat mengalih kereta Perodua Kancil mangsa yang terbakar kira-kira 30 peratus, katanya.

Bayan Lepas, Kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain