Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata penghantaran pelajar-pelajar cemerlang itu terutama dalam bidang perubatan dan kejuruteraan.
"Kami tidak serik dan akan terus menghantar pelajar cemerlang ke negara itu," katanya kepada pemberita selepas menziarahi jenazah Allahyarham Nor Atikah Alias, 25, yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang di sini Ahad.
Nor Atikah, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan Kajian Kebangsaan Rusia di Moscow, meninggal di Unit Rawatan Rapi Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan kaki.
Ahmad Razif bekata pemergian Nor Atikah merupakan kehilangan besar kepada kerajaan Terengganu kerana Allahyarham merupakan pelajar pintar yang menjadi inspirasi buat pelajar lain terutama perjuangannya menuntut ilmu.
Kerajaan Terengganu menanggung perbelanjaan rawatan, urusan membawa pulang dan pengebumian jenazah Nor Atikah selain kos tambang penerbangan ibu bapa Allahyarham ke Moscow.