suria

APMM Selamatkan Kru Kapal Hadapi Masalah Jantung

SHAH ALAM: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Isnin menyelamatkan seorang kru kapal warga Greece yang mengalami masalah jantung, kira-kira 36 batu nautika dari perairan Pulau Ketam dekat sini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata Chatzipavlou Savvas, 67, kru kapal MV Irene II itu mengalami masalah berkenaan ketika dalam pelayaran dari Saldanha Bay, Afrika Selatan menuju ke Singapura.

Beliau berkata Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya menerima maklumat mengenai insiden itu pada kira-kira 1.45 tengah hari dan sebuah helikopter AW139 Agusta dari stesen udara Maritim Subang dikejarkan untuk menyelamatkan mangsa.

"Operasi menyelamat mengambil masa kira-kira 25 minit untuk sampai ke lokasi kapal dan lelaki berkenaan dibawa serta didaratkan di padang bola Ventorian, Pelabuhan Klang.

"Beliau kemudiannya dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Aliyas berkata 22 anak kapal itu berada di dalam kapal berkenaan yang didaftarkan di Majuro, Marshall Islands.

    -- BERNAMA

APMM

Artikel Lain