MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPSD) mengumumkan pencalonan Presiden parti, Datuk Seri Tiong King Sing yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak. SPSD menjadi parti komponen Barisan Nasional yang pertama membuat pengumuman mengenai pencalonannya bagi pilihan raya negeri itu. Pilihan raya tersebut dijangka akan berlangsung pada Jun 2016 tetapi ia juga boleh dijalankan lebih awal. Pengerusi SPSD bagi Dewan Undangan Negeri Bekenu, Sebastian Janting berkata parti tersebut telah mengadakan mesyuarat di pejabat cawangan Bekenu untuk membuat keputusan mengenai pencalonan Tiong yang dilihat mampu memenangi kerusi DUN Bekenu. Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, merupakan wakil khas Perdana Menteri di Jepun, Korea, dan Taiwan. Kerusi bagi Dewan Undangan Negeri Bekenu di utara Sarawak disandang oleh Datuk Rosey Yunus yang merupakan Pembantu Menteri Kebajikan, Wanita, dan Pembangunan Keluarga. Rosey memenangi kerusi DUN Bekenu semasa menjawat jawatan naib presiden SPSD dua penggal lalu tetapi telah meninggalkan parti tersebut bersama empat kakitangan yang lain untuk membentuk Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) berikutan masalah kepimpinan dalam SPSD.