BAGI mana-mana pemaju hartanah, 'Bank Tanah' adalah penting. Semakin luas tanah yang dimiliki, semakin bagus. Jadi setiap pemaju akan membeli tanah untuk disimpan supaya boleh dimajukan kemudian hari. Lebih bagus jika tanah tersebut di kawasan strategik. Baru-baru ini MRCB membeli tanah kedutaan Jerman di Jalan Kia Peng pada harga RM3,188 per kaki persegi. Sememangnya tanah berdekatan dengan KLCC menjadi idaman bagi mana-mana pemaju hartanah. Untuk itu, Tabung Haji membeli plot tanah di kawasan TRX daripada 1MDB pada harga RM188.5 juta. Ini bersamaan dengan RM2,800 per kaki persegi. Mengikut penilaian bebas, harga pasaran tanah tersebut adalah RM330 juta. Jadi harga yang dibayar Tabung Haji boleh dianggap 'bargain'. Tetapi isunya bukan sama ada Tabung Haji membuat pelaburan dengan bijak ataupun tidak. Jauh sekali isunya tentang harga tanah tersebut. Sebaliknya ini berkisar tentang 1MDB. 1MDB dikatakan sebagai agensi strategik pelaburan yang ditubuhkan untuk membangunkan industri strategik demi ekonomi negara. Apa yang strategiknya jika sekadar membeli tanah dari kerajaan pada harga yang murah dan kemudiannya menjual kepada GLC kerajaan pada harga pasaran? 1MDB membeli plot tersebut pada harga RM4 juta (RM64 per kaki persegi) dan kemudiannya menjual kepada Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta (RM2,800 per kaki persegi)? Mungkin ada kos yang telah dikeluarkan oleh 1MDB seperti membersihkan tanah, memasang pagar dan infrastruktur asas tetapi adakah kos-kos tersebut menelan belanja sebegitu banyak sehinggakan plot tanah tersebut dijual 40 kali ganda lebih tinggi? Jika kerajaan bimbang tanah strategik itu jatuh ke tangan orang luar, mengapa 1MDB perlu menjual pada harga pasaran dan tidak pada harga asal? Jika kerajaan boleh bermurah hati dengan menjual tanah tersebut begitu murah kepada 1MDB, apa kurangnya Tabung Haji di mata Kementerian Kewangan? 1MDB membuat untung atas angin sebanyak RM184.5 juta dengan transaksi ini. Wang ini adalah jumlah bayaran yang sepatutnya diterima kerajaan jika kerajaan menjual tanah tersebut pada harga pasaran kepada 1MDB.