suria

Mayat Warga Asing Di Tepi Sawah

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki dipercayai rakyat asing ditemui mati di tepi sawah di Permatang Nibong di sini, Selasa.

Mayat yang lengkap berpakaian baju kemeja putih dan berseluar hitam itu ditemui seorang pesawah ketika melalui kawasan itu untuk ke sawahnya pada pukul 10 pagi.

Jurucakap polis berkata lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai mati di tempat lain sebelum mayatnya dibuang berhampiran batas ban merah, kira-kira 200 meter dari jalan besar.

"Mayat lelaki itu ditemui dalam keadaan terlentang dan pakaian mangsa juga basah. Polis tidak menolak kemungkinan mayat itu baru dibuang di situ iaitu tidak sampai dua jam," katanya di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata tiada kecederaan luaran ditemui pada badan lelaki itu.

Tiada dokumen pengenalan diri ditemui dan mayat itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat, katanya.

Polis meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sawah, Bukit Mertajam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain