KUALA LUMPUR: Lebuhraya Persekutuan KM19 (berhampiran KTMB Subang) akan ditutup secara berkala pada Khamis (14 Mei) dan Jumaat ini bagi pelaksanaan kerja-kerja merombak talian penghantaran sedia ada Tenaga Nasional (TNB). TNB dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) dalam kenyataan bersama pada Rabu berkata, laluan trafik itu akan ditutup secara berkala dari 12.01 tengah malam hingga 4.30 pagi bagi membolehkan kerja pemotongan dan penyambungan pengalir dilaksanakan. Jalan-jalan susur yang terlibat adalah Lebuhraya Persekutuan KM9 - KM19.3 dari Shah Alam/Klang ke Petaling Jaya/Kuala Lumpur, Lebuhraya Persekutuan KM19.3 - KM19 dari Petaling Jaya/Kuala Lumpur ke Shah Alam/Klang. Susur masuk dari Shah Alam/Klang ke Jalan Subang Airport dan susur dari Jalan Subang Airport ke Shah Alam/Klang. Pihak polis akan mengawal laluan trafik dan keselamatan pengguna. "Satu lorong (mulai menara jam dari Kuala Lumpur dan susur keluar dari Subang Jaya) akan ditutup menggunakan kon-kon keselamatan agar pengguna bersedia memperlahankan kenderaan semasa mendekati kawasan naik taraf ini," kata kenyataan itu.