suria

Pemungut Hutang Mungkin Ditembak Peminjam

BUTTERWORTH: Polis tidak menolak kemungkinan pemungut hutang yang ditembak mati di Taman Carissa, Mak Mandin di sini pada Selasa adalah angkara peminjam yang tidak berpuas hati dengan lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata siasatan awal polis mendapati Goh Wooi Loon, 31, baru mengutip wang daripada beberapa peminjam di sekitar kawasan itu sebelum dia ditembak dari belakang.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis tidak menolak kemungkinan  mangsa ditembak kerana pemimjamnya tidak berpuas hati dengan cara pembayaran  pinjaman yang dikendalikan lelaki berkenaan," katanya di sini, Rabu.

Dalam kejadian semalam, Goh mati ditembak ketika menunggang motosikal di lorong belakang deretan rumah kedai di Taman Carissa, Mak Mandin, dipercayai setelah dikejar seorang lelaki yang menaiki motosikal.

Abdul Rahman berkata polis telah merakam keterangan daripada beberapa saksi yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Polis juga tidak menolak kemungkinan sejumlah wang milik lelaki berkenaan turut disamun suspek yang menembaknya kerana wang kutipan hutang mangsa dilapor hilang, katanya.

Mak mandin, Pemungut Hutang

Artikel Berikut

Artikel Lain