KOTA BARU: Seorang pelajar berusia 17 tahun yang didakwa memukul seorang pelajar junior di bilik asrama sebuah kolej di Bachok pada Selasa sehingga menyebabkan kematian direman selama lapan hari. Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata pelajar yang berasal dari Melor itu direman bermula Selasa hingga 19 Mei. Mangsa iaitu Mohamad Nur Akram Zime, 16, maut selepas disyaki dipukul pelajar senior berkenaan pada tengah malam. Mangsa dilapor tidak sedarkan diri selepas disepak sebanyak dua kali dan mangsa meninggal pada 1.30 pagi di sebuah klinik kesihatan.