PETALING JAYA: Pasangan yang melakukan hubungan seks di balkoni sebuah kondominium berkemungkinan akan didakwa kerana melakukan perbuatan kelucahan melampau, kata seorang peguam jenayah. Peguam Sreekant Pillai berkata, sebarang dakwaan akan dibuat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan. Di bawah Seksyen 377D, adalah menjadi satu kesalahan jika seorang itu melakukan, membantu atau menyebab dilakukan, atau mencuba melakukan, satu perbuatan kelucahan melampau (gross indency) dengan orang lain. Perbuatan ini boleh dilakukan sama ada di tempat awam atau di tempat yang tersembunyi (in public or in private). Jika sabit kesalahan, perbuatan sedemikian boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun. "Aksi mereka direkodkan dan menjadi viral di laman sosial," katanya kepada The Star Online. Laporan dan video pasangan yang tidak dikenali melakukan hubungan seks di siang hari di balkoni sebuah unit kondominium di Bangsar South dikongsi di rangkaian media sosial sejak Selasa lalu. Aksi selama 30 minit mereka itu dirakamkan oleh penyewa dari unit lain kawasan kejiranan berkenaan. Polis mengesahkan bahawa perkara itu disiasat dan mereka sedang mengumpul bukti untuk tindakan lanjut.