suria

Pendengaran Kes Muflis Adun Lenggeng 30 Jun

Ishak Ismail
SEREMBAN: Mahkamah Tinggi Seremban pada Khamis menetapkan 30 Jun depan sebagai tarikh pendengaran bagi mengetepikan perintah muflis terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Lenggeng, Datuk Ishak Ismail.

Ishak, 64, diisytihar muflis oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah pada 18 Mac lalu setelah dia gagal membayar pinjaman kepada seorang ahli perniagaan, Datuk Misran Sukadi.

Peguamnya, C.S. Murtti ketika ditemui pemberita berkata Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nur Shafawati Arifin, menetapkan tarikh itu 3.30 petang. 
Katanya, kes itu akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi sebelum keputusan mengenainya dibuat.

"Proses yang berlaku hari ini adalah adalah hari pertama pengurusan kes," katanya.

Sementara itu, Ishak menafikan dirinya muflis kerana bantahan terhadap pengisytiharan itu telah dibuat di mahkamah.

"Hujah saya setakat ini saya tidak dapat apa-apa notis. Macam mana saya boleh dihukum dengan tiada notis?

"Kalau dia (Misran) kata dia tak boleh jumpa saya di kampung saya di Pantai, setiap hari Jumaat, bermula pukul 3 petang sampai 12 malam, saya ada di warung khidmat ADUN Lenggeng saya bertemu orang ramai.

"Pasal apa saya tak dicari?," katanya sambil menegaskan beliau masih meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat sehingga tarikh pendengaran kes.

Ishak berkata masalah bermula selepas kontraktor yang membuat pinjaman sebanyak RM2 juta daripada Misran pada tahun 2007 gagal membuat pembayaran.Namun sebagai penjamin, beban itu jatuh pada beliau walaupun sudah membayar RM1.2 juta secara berperingkat-peringkat sejak itu.

"Saya juga boleh persoalkan kerana pinjaman ini mesti ada lesen. Macam mana pinjam RM2 juta, ganti RM4 juta?"

"Saya akan rujuk dengan Bank Negara berkenaan hal ini," katanya.

Muflis

Artikel Lain