suria

Kerajaan Dirayu Segerakan Pelaksanaan Semula PLKN

GUA MUSANG: Kerajaan dirayu supaya menyegerakan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah ditangguhkan buat sementara waktu.

Presiden Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat negara (PPKN) Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim berkata, tempoh penangguhan perlu dipendekkan kerana kesannya telah mula dirasai oleh pengusaha kem dan pihak lain yang terlibat di seluruh negara.

"Kita rayu supaya kerajaan mempercepatkan kajian transformasi program ini bagi membolehkan kem-kem PLKN dapat dibuka semula dengan cepat.

"Semua sudah nampak keberkesanan program ini, jika ia dapat dimulakan dengan cepat mereka yang terjejas dan masalah yang timbul akan dapat diatasi," katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Ahmad Kamel berkata, sejak PLKN ditangguhkan pelaksanaannya pada Mac lalu, kesan paling dirasai dan paling ketara dapat dilihat dari segi rangkaian ekonomi.

Katanya, dari segi sosial, ketiadaan program seumpama ini bagai membuka ruang yang lebih luas kepada belia, khususnya lepasan sekolah untuk melakukan aktiviti tidak berfaedah seperti melepak dan merempit.

"Semua rasa terjejas kerana ia berhubung kait sesama sendiri dan berada dalam satu rangkaian ekonomi.

"Bukan setakat operator kem, tetapi dari sekecil-kecil pembekal tempe dan kuih kampung kepada pembekal ayam, pekerja angkut sampah, semuanya terjejas termasuklah ibu bapa yang mahu anak mereka menyertai program lepasan sekolah yang berfaedah ini," katanya.

Dalam pada itu Ahmad Kamel berkata beliau turut menerima rungutan daripada ahli persatuan yang terdiri daripada 80 anggota yang bimbang keadaan ekonomi mereka akan lebih terjejas jika PLKN ditangguh dalam tempoh yang panjang.

Sehingga kini, terdapat 82 kem PLKN di seluruh negara.

Sambil menyatakan harapan agar program tersebut dapat dilaksanakan semula dengan segera pada tahun ini, beliau berkata semua pengendali kem sentiasa dalam keadaan bersedia untuk beroperasi semula pada bila-bila masa.

"Kita sudah tidak sabar menunggu (buka semula), kita rayu dan berharap penutupan tidak sampai ke tahun depan.

"Memang kerajaan menjanjikan sejumlah wang kepada operator kem tetapi ia masih dalam proses dan difahamkan ia akan diberi tak lama lagi. Kita masih tunggu, tetapi  ia tak cukup dan tak akan selesaikan masalah...sekadar boleh ringankan beban," katanya.

Penangguhan PLKN itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Januari lalu ketika membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Langkah untuk menangguhkan program tersebut dijangka akan menjimatkan dana kerajaan sebanyak RM400 juta.

Oktober tahun lepas semasa membentangkan Bajet 2015, Najib  mengumumkan bahawa PLKN, yang telah melatih lebih 800,000 pelajar sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Gua Musang, PLKN, JLKN

Artikel Lain