suria

Keluarga Dari Perancis Lengkapkan Kayuhan Kembara

Chereau menggembara menggunakan basikal bersama isteri dan anak lelakinya.

JOHOR BARU: Pasangan suami isteri warga Perancis dan anak lelaki mereka berusia empat tahun mengelilingi Asia Tenggara dengan mengayuh basikal. 

Mereka melakukan kayuhan hampir 5,700 kilometer sejak tahun lalu.

Keluarga tersebut menggunakan basikal selama enam hingga tujuh jam setiap hari dan bermalam di sebuah khemah jika mereka tidak dapat mencari tempat untuk bermalam.

Jurutera awam, Bertrand Chereau, 28 dan isterinya, Severine, 40, serta anak lelaki mereka, Tom memulakan ekspedisi mereka selepas tiba di Thailand pada Oktober tahun lalu.

"Kami merancang untuk mengembara menggunakan sebuah motorvan. Tetapi anak saya meninggal semasa dilahirkan pada tahun lalu, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan mengembara bersama keluarga.

"Kami membelanjakan sekitar €6,000 (RM24,000) bagi dua basikal dan sebuah troli kecil untuk anak lelaki saya dan kira-kira €4,000 (RM16,000) bagi tiket kapal terbang," katanya kepada The Star.

Beliau berkata mereka berlatih selama lima hari sebelum berlepas ke Thailand.

"Kami mempunyai pengalaman mengembara di dalam kehidupan kami," kata Chereau yang mengenali lebih 1,000 kawan baharu sejak beberapa bulan lalu.

Severine berkata anak lelakinya amat seronok dan mereka akan berhenti setiap jam untuk meneliti keadaannya dan untuk minum air.

"Suami saya susut 10kg sejak kami memulakan pengembaraan ini," katanya.

Keluarga mereka kebiasaannya menghabiskan antara 30 dan 45 hari di sesebuah negara sebelum berlepas ke negara berikutnya.

"Kami menjelajah beberapa bahagian di Thailand, Laos, Vietnam dan Kemboja sebelum memasuki Malaysia menerusi sempadan Thailand," katanya.

Keluarga tersebut turut berkunjung ke beberapa pulau seperti Pulau Langkawi, Pulau Tioman dan Pulau Pangkor sebaik tiba di Malaysia pada Mac lalu.

"Rakyat Malaysia begitu peramah.

"Sebuah keluarga Cina membenarkan kami bermalam di rumah mereka di Ipoh manakala sebuah keluarga Melayu menumpangkan kami di Johor termasuk menyediakan makanan tempatan," kata Severine.

Keluarga tersebut akan berlepas ke Singapura sebelum menuju Bali, Indonesia dan kembali ke Perancis pada 11 Jun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain