suria

Keadaan selepas gempa bumi di daerah Sindhupalchwok, Nepal yang berlaku pada 25 April dan 12 Mei lalu.

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Nepal pada 7.34 malam Sabtu (waktu Malaysia).

Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata pusat gempa bumi itu dikesan 319 kilometer (km) di barat laut Dinajpur, Bangladesh dan 2,753 km di barat laut Padang Besar, Perlis.

Jabatan itu juga melaporkan gempa bumi berukuran 5.4 pada skala Richter juga berlaku di Xizang (Tibet) pada 7.34 malam ini.

Pusat gempa berkenaan dikesan 316 km di barat laut Dinajpur dan 2,757 km di barat laut Padang Besar.

Gempa itu tidak membawa ancaman tsunami.

Gempa bumi dahsyat pada 25 April dan 12 Mei di Nepal telah mengorbankan lebih 8,500 orang dan memusnahkan harta benda bernilai berbilion dolar di negara itu.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu, hampir lapan juta orang atau lebih satu perempat daripada jumlah penduduk Nepal terjejas akibat dua gempa bumi itu.

Gempa bumi, nepal

Artikel Lain