SIK: Dianiaya, dipukul, didera, ditangkap dan kemudiannya dijual sebagai hamba. Kehidupan pelarian etnik Rohingya penuh dengan penderitaan. Seorang lelaki etnik Rohingya yang dikenali sebagai Din,45, bekerja di Malaysia selama 24 tahun. Dia tinggal di sini bersama isterinya yang juga warga Rohingya dan bayi mereka berusia tujuh bulan. Dia mendapat kad Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) pada 2004 dan kini bekerja sambilan di tapak pembinaan. Din meluahkan rasa sedih apabila melihat cara etnik tersebut dilayan di negara sendiri. "Kami mempunyai hak. Kami juga manusia dan mahu meneruskan kehidupan. Mengapa kami ditendang seperti objek? "Tolong jangan layan kami seperti ini," kata Din yang berdepan pelbagai kesukaran sepanjang perjalanannya untuk tinggal di Malaysia. Din yang fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia tiba di negara ini menerusi Thailand pada 1991 dari kampung halamannya di Sittwe, Rakhine. "Saya ditahan enam kali di Malaysia dan dihantar pulang ke Thailand. Setiap perjalanan ada pahitnya. "Pada 1995, saya ditahan dan dihantar pulang ke Thailand selepas beberapa bulan. "Sebaik sahaja saya dibebaskan, saya kemudiannya dijual kepada sekumpulan nelayan. "Kehidupan saya selama dua tahun di sana amat teruk. Jangan tanya saya mengenainya. "Saya akan jadi gila apabila memikirkan mengenai waktu itu. "Saya melarikan diri dua tahun kemudian dengan bantuan seorang wanita yang menghantar saya ke sebuah perhentian bas dan saya melakukan perjalanan ke Malaysia," katanya. Din berkata mereka tiada pilihan tetapi untuk melarikan diri daripada negara itu kerana berlaku penindasan yang teruk terutamanya pada tahun 2012 selepas rusuhan Islam-Buddha. "Kami tidak mampu meneruskan pendidikan. Kami tidak mampu bekerja. "Kerajaan kami sendiri melayan kami dengan teruk," kata Din kepada pemberita di Pusat Tahanan Imigresen Belantik yang terletak kira-kira 35 kilometer dari sini. Kerajaan Myanmar enggan menerima etnik Rohingya sebagai rakyatnya dan menganggap mereka sebagai pendatang haram dari negara jiran, Bangladesh. Din kini berada di pusat tahanan dengan kempen Hentikan Pemerdagangan Orang anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pulau Pinang. NGO tersebut mengagihkan bekalan makanan kepada kira-kira 1,158 etnik Rohingya dan Bangladesh yang ditahan di Langkawi baru-baru ini. Din turut berharap agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menghantar pasukan pengaman ke Myanmar untuk menyelesaikan kemelut tersebut.