PETALING JAYA: Tindakan seorang graduan jurusan Diploma Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi yang teruja untuk 'selfie' di atas pentas ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 sedang berlangsung, akhirnya memakan diri. Graduan berusia 21 tahun dari UiTM Lendu, Melaka itu digantung pengajian selepas perbuatannya itu dianggap sebagai tidak menghormati etika majlis konvokesyen. Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar mengesahkan Muhammad Hasrul digantung pengajian untuk tempoh setahun atau dua tahun di atas perbuatannya itu. Katanya, pelajar telah diberi penerangan dan garis panduan sebelum memasuki dewan termasuk larangan untuk 'selfie' di atas pentas. "Tindakannya memalukan UiTM. Dia sepatutnya menghormati majlis dan pensyarah yang meraikannya," kata beliau. Terdahulu, gambar selfie Muhammad Hasrul bersama Prof Canselor UiTM yang menjadi viral di laman sosial baru-baru ini menerima kritikan ramai. Bagaimanapun, menerusi laporan Harian Metro, Muhammad Hasrul memohon maaf di atas perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja kerana begitu teruja untuk menerima segulung diploma. "Saya minta maaf jika tindakan saya ‘selfie’ atas pentas ketika istiadat konvokesyen berlangsung memalukan UiTM, saya tidak mampu mengawal perasaan teruja dan seronok selepas menerima segulung diploma,” katanya. Malah, Muhammad Hasrul berkata idea untuk berselfie di atas pentas itu datang setelah dia melihat majlis konvokesyen dari sebuah universiti tempatan yang menampilkan para graduannya melakukan aksi tarian ketika mengambil skrol. Menurutnya, sebagai graduan jurusan Fotografi, berselfie merupakan simbolik untuk jurusan tersebut. “Saya fikir tindakan itu tidak salah, mengambil gambar selfie juga simbolik untuk pelajar jurusan fotografi. “Tidak salah untuk saya ‘merakam’ detik bersejarah dalam hidup selepas bertungkus-lumus selama dua tahun setengah untuk mendapat segulung diploma,” katanya.