suria

Pesawat Eksekutif ACJ 320 Buat Penerbangan Rasmi Bawa Agong

Pesawat ACJ 320 yang baru diperoleh kerajaan pada Ahad melakukan penerbangan rasmi pertama dengan membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada Ahad.
 - fotoBERNAMA

ALOR SETAR: Pesawat Eksekutif Airbus Corporate Jet (ACJ 320) yang baharu diperoleh kerajaan, melakukan penerbangan rasmi pertama membawa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Ahad.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan pada Ahad berkata, pesawat membawa baginda berlepas tepat 10 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini ke Pulau Langkawi.

"Perolehan pesawat ACJ 320 itu bagi menggantikan Boeing Business Jet (BBJ) yang berusia 16 tahun dan kini dalam proses pelupusan. Keputusan menggantikan BBJ dibuat pada tahun 2013 memandangkan kos penyelenggaraannya semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan," kata JPM.

Pesawat ACJ 320 itu tiba di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu, setelah berlepas dari Hamburg, Jerman dan berhenti di Almaty, Kazakhstan selama sejam bagi mengisi bahan bakar.

JPM berkata pesawat itu membawa sembilan anak kapal dan dua pegawai kanan JPM yang ditugaskan bagi memastikan pesawat yang diterima berada dalam keadaan baik dan menepati spesifikasi perjanjian pembelian.

Menurut kenyataan itu, laluan Hamburg-Almaty-Subang dicadangkan sebagai laluan berdasarkan keadaan cuaca pada masa itu.

"Penerbangan itu juga menggunakan ruang udara China berdasarkan keadaan angin dan ketinggian awan, berbanding ruang udara Afghanistan," kata JPM.

Selain pesawat Eksekutif ACJ 320 itu, tiga lagi pesawat Eksekutif Kerajaan ialah ACJ 319 yang diperoleh pada 2007, manakala dua lagi pesawat bersaiz lebih kecil iaitu Falcon pada 1989 dan Global Express pada 2001.

Pesawat khas kerajaan diperuntukkan untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun menurut JPM, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan, pesawat berkenaan juga boleh diluluskan untuk kegunaan Sultan, Yang Dipertua Negeri, menteri dan timbalan menteri, tetamu kerajaan persekutuan dari negara asing, pegawai kanan kerajaan serta orang kenamaan.

Sementara itu keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong di Kompleks Bunga Raya lapangan terbang itu disambut Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya Kedah Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid.

Turut sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Paduka Mohd Puat Mohd Ali dan Ketua Polis Negeri Datuk Zamri Yahya.

Artikel Lain