suria

Warga Indonesia Digesa Hentikan Provokasi Terhadap Rakyat Malaysia

Antara insiden yang menimbulkan situasi kurang senang di kalangan rakyat Malaysia dan Indonesia.

MAKASSAR: Golongan mahasiswa di sini menggesa rakyat Indonesia menghentikan semua aktiviti provoksi yang bertujuan menghina rakyat Malaysia kerana perbuatan itu hanya memalukan negara sendiri.

Pelajar jurusan Pengajian bahasa Inggeris Universitas Muhammadiyah Makassar Ahmad Afandi Rasyid berkata, beliau yang pernah menjalani latihan amali di Johor Baru tahun lepas, kesal dengan sikap sesetengah rakyat Indonesia yang membuat pelbagai provokasi terhadap rakyat Malaysia.

"Saya pernah tinggal di Malaysia dan saya tahu hati budi orang Malaysia, kita sepatutnya berfikir bagaimanakah untuk memperkukuhkan lagi hubungan bangsa serumpun dan bukannya mencari sebab untuk menghina mana-mana kaum," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Ahmad Afandi yang juga Pegawai Perhubungan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia (PBSMI) cabang Makassar berkata pelajar Malaysia di negara itu pula sering menjalankan aktiviti untuk menabur budi dan jasa kepada rakyat Indonesia.

Sebanyak 30 pelajar perubatan Malaysia tahun akhir tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dari Universitas Hasanuddin dengan kerjasama PBSMI di Makassar menabur bakti kepada rakyat tempatan dengan menganjurkan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan berkhatan secara percuma.

Aktiviti yang mendapat sambutan lebih 500 penduduk di sekitar bandar Makassar itu berlangsung di kampus Universitas Negeri Makassar di sini dan dirasmikan wakil Datuk Bandar Makassar Kamaruddin Munde.

Pengerusi PBSMI cabang Makassar Sulfiadi Barmawi pula berkata, pelajar jurusan perubatan Malaysia adalah yang paling aktif menganjurkan aktiviti sosial untuk menjayakan program Desa Sihat anjuran persatuan berkenaan.

Katanya, aktiviti seumpama itu mendapat sambutan menggalakkan rakyat tempatan kerana ia memberi peluang kepada rakyat untuk mendapat pemeriksaan kesihatan dan ubat-ubatan selain daripada membawa anak lelaki mereka untuk berkhatan secara percuma.

"Kita senang bekerja dengan pelajar Malaysia kerana mereka memahami budaya rakyat Indonesia malah budi bahasa mereka yang lemah lembut sering menjadi tarikan rakyat tempatan untuk menyertai program yang dianjurkan," katanya.

Sulfiadi berkata, PBSMI berharap dapat bekerjasama dengan pelajar Malaysia dalam aktiviti berskala besar termasuk kemungkinan di peringkat nasional satu hari nanti.

Sementara itu, Pengarah Mara Indonesia Zulaina Haslinda Anhar Zubir berkata program yang ditaja sepenuhnya oleh Mara itu bertujuan untuk melatih bakal-bakal doktor berkenaan menjalani amali sambil berbakti kepada penduduk setempat.

"Kita sememangnya mengalakkan pelajar Malaysia memberi sumbangan bakti kepada penduduk setempat di kawasan mereka belajar," katanya.

Beliau berkata, menerusi aktiviti seumpama itu, ia dapat mengeratkan hubungan antara dua negara selain memberi ruang kepada rakyat tempatan mengenali orang Malaysia secara peribadi.

Pengerusi jawatankuasa penganjur Jefrizal Mat Zain yang juga pelajar tahun akhir jurusan perubatan Universitas Hasanuddin berkata, 30 pelajar perubatan yang terlibat dalam aktiviti itu adalah antara 500 Malaysia pelajar jurusan perubatan di universiti berkenaan.

"Kita tidak boleh membawa semua mahasiswa kerana jumlah yang terlalu ramai dan 30 orang yang terpilih ini adalah yang akan menamatkan pengajian pada Jun dan Ogos ini," katanya.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain