PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penafian Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung peletakan jawatannya adalah suatu tindakan yang memalukan dirinya. Beliau berkata, ini kerana, Pandikar Amin sendiri telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Rakyat dan meminta nasihat daripadanya. “Dia memalukan saya dengan kata dia tak letak jawatan. “Dia sendiri datang jumpa saya, dia beritahu tak puas hati dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Dia beritahu saya nak letak jawatan…kata tak mahu jadi Speaker dah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan buku berjudul ’Dr Mahathir’s Selected Letters To World Leaders’ (Voleum II) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, Isnin. Dr Mahathir berkata, Pandikar Amin juga telah mengadu kepadanya tentang layanan Parlimen terhadap dirinya yang menyebabkan beliau tidak berpuas hati. “Dia tanya saya apa dia perlu buat, saya kata: "Kalau you nak resign, resignlah." “Saya percaya bahawa dia dah bagi surat kepada Najib bahawa dia nak letak jawatan,” katanya. Menurut Dr Mahathir, penafian Pandikar Amin itu secara tak langsung menampakkan seolah-olah beliau berbohong kerana mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu. “Saya cuma ulang apa yang dia kata, tapi dia kata macam saya ni bohong. “Ini tak baiklah…malulah saya,” katanya. Ditanya sama ada beliau akan bertemu dengan Pandikar Amin untuk menyelesaikan salah faham ini, beliau menjawab: “Itu tak tahulah.” Lewat Sabtu, Pandikar Amin mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Dr Mahathir yang dibuat di Ipoh pada Sabtu berkaitan peletakan jawatannya sebagai Speaker Dewan rakyat.