ARAU: Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah meminta pengunjung yang melawat negeri ini agar membeli buah mempelam harumanis, antara produk ikon Perlis, sebagai buah tangan untuk dibawa pulang. "Balik nanti, belilah mempelam harumanis. Banyak dijual di tepi-tepi jalan. Orang kampung yang menjualnya akan merasa sangat dihargai," titah baginda pada majlis santapan negeri bersempena sambutan Keputeraan baginda ke-72, di Dewan Bankuasi Istana Arau di sini, malam Ahad. Pada majlis berkenaan Tuanku Syed Sirajuddin turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada tetamu baginda yang datang dari jauh termasuk dari luar negara untuk meraikan sambutan keputeraan baginda. Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta kerabat diraja Perlis. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dan isteri Datin Seri Nor Aswana Omar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, anggota Exco negeri dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.-- Bernama