suria

Beri Peluang Saya Selesaikan Agenda Pembangunan Negara - PM

Najib mendapat sokongan veteran Umno pada majlis yang diadakan di PWTC, Isnin.

KUALA LUMPUR: Meskipun dihimpit dengan pelbagai tohmahan dan kritikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih tetap bersemangat untuk terus melaksanakan tugasnya demi kepentingan rakyat dan negara.

"Cuma saya minta beri peluang kepada saya untuk habiskan agenda pembangunan negara," katanya.

Malahan, tegas Presiden Umno itu, beliau juga akan berusaha  untuk memartabatkan parti itu seperti yang diperjuangkan bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

"Saya akan jalankan tugas dalam Kabinet dan Majlis Tertinggi supaya agenda memperkasakan Umno berjaya diteruskan sebab bapa saya yang bangunkan parti ini.

"Saya bukan anak yang khianati parti, saya anak yang kukuhkan Umno. Saya yakin dengan sokongan anda, parti ini mampu mempertahankan kedudukan sebagai parti pemerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Veteran Umno Sepetang Bersama Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra, Isnin.

Jelas beliau, dasar yang diperkenalkannya sebagai Perdana Menteri adalah selari dengan prinsip dan perjuangan Umno.

"Umpamanya UiTM, siapa yang memartabatkan institusi itu? Bukankah waktu itu saya jadi menteri pelajaran dan siapa menetapkan sasaran 200,000 kemasukan pelajar UiTM, bukankah saya semasa jadi Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Sebagaimana perjuangan bapanya yang dianggap sebagai Bapa Pembangunan Negara, Najib turut berazam untuk memacu negara dan rakyat Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik pentadbiran Najib yang didakwa pincang khususnya berkait rapat dengan syarikat pelabur 1MDB, selain kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

Artikel Lain