PASIR PUTEH: Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) ditemui rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Lepah, Selising di sini, petang Isnin. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata dalam kebakaran pada 5.30 petang itu, mayat Zulkifli Abdullah, 38, dijumpai dalam bilik tidurnya. "Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis di sini untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini. Wan Baijuri berkata dua jentera bersama 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dan Ketereh berjaya memadamkan api pada 5.58 petang. Ketika ditemui pemberita, bapa mangsa Abdullah Ahmad, 63, berkata bapa mertuanya Mail Mat Akid yang berusia 110 tahun, turut berada dalam rumah berkenaan dan berjaya diselamatkan oleh jiran sebaik menyedari kebakaran itu. "Api dipercayai berpunca dari bilik tidur anak saya (mangsa) kerana saya mendengar beberapa kali teriakan api api daripada anak saya," katanya. Abdullah berkata ketika kejadian, beliau sedang mengundurkan kereta di hadapan rumah untuk ke warung kopi dan tidak sempat untuk menyelamatkan mangsa kerana api merebak terlalu cepat. Beliau berkata mereka turut mengalami kerugian harta benda dianggarkan lebih RM100,000 dan wang tunai RM10,000 milik bapa mertuanya yang disimpan di dalam kain di rumah tersebut.