suria

Perbualan Telefon Tentang Pencerobohan Dihasilkan Semula

KOTA KINABALU: Perbualan telefon yang menunjukkan pembabitan suspek dalam pencerobohan Lahad Datu dihasilkan semula, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu pada Selasa.

Pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman Supt Norliah Selamat berkata beliau menganalisis kandungan setiap dokumen pintasan komunkasi ke atas 10 suspek dan menaip semula hanya perbualan yang mengandungi maklumat keselamatan berkaitan pencerobohan itu.

"Mula-mula saya akan membaca perbualan dalam produk pintasan komunikasi dan menilai maklumat keselamatan yang terkandung dalam dokumen tersebut," katanya.

Pegawai SB itu memberi keterangan dalam perbicaraan 30 individu yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan yang berlaku di Kampung Tanduo di Lahad Datu pada Februari dua tahun lepas.

Saksi itu berkata tugasan untuk menaip semula dokumen itu diserahkan kepada beliau pada 26 April 2013 oleh pegawai bertugas unit E2B SB ketika itu, SAC Yusoff Mohd Amin dan beliau mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkanya.

Norliah memberitahu mahkamah beliau turut menukar nama operasi pada dokumen itu daripada 'Ops Sulu' kepada 'Ops Daulat'.

Selain itu, katanya format produk pintasan komunikasi turut diubah supaya lebih ringkas, mudah dan praktikal untuk diteliti pegawai penyiasat.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Mereka juga dituduh merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April, 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung pada Rabu.

Artikel Lain