KUALA LUMPUR: Beberapa pesalah trafik di sekitar Lembah Kelang dikesan mengambil cuti sakit (MC) dan kecemasan (EL) bagi mengelak ditahan pada Ops Warta yang bermula pada Selasa. Menerusi operasi yang dijalankan serentak di 10 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu, kebanyakan pesalah bertindak sedemikian sehingga menyebabkan pihak polis perlu bertindak mengeluarkan notis amaran. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, pesalah trafik yang mengelak daripada ditangkap pada operasi yang menyasarkan tempat kerja mereka perlu menyerah diri sebelum tindakan susulan diambil. "Kebanyakan pesalah trafik tidak datang kerja, majikan mereka memberitahu mereka ambil cuti sakit dan cuti kecemasan hari ini (Selasa). "Operasi ini berterusan dan tidak mungkin setiap hari pesalah trafik yang tahu tentang waran tangkap mereka akan ambil cuti untuk mengelak ditahan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Persekutuan, di sini, Selasa. Tambahnya, setakat ini Ops Warta hanya memberi tumpuan kepada sekatan jalan raya dan tempat kerja pesalah sebelum menyusul ke kediaman mereka. "Buat masa ini, kami akan memberi tumpuan kepada sekatan jalan dan tempat bekerja. Jika tidak berpuas hati langkah seterusnya ialah mencari mereka di rumah," katanya. Keseluruhannya, operasi hari pertama menahan 69 individu di Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Melaka, Perak dan Sabah. "Setakat pukul 12 tengah hari Selasa, Pulau Pinang mempunyai bilangan tertinggi pesalah trafik yang ditahan iaitu 36 tangkapan, diikuti Melaka (24 tangkapan)," katanya. Mohd Fuad juga mendedahkan seramai 44 pesalah menyerah diri dengan jumlah tertinggi pesalah trafik menyerah diri di Sarawak. "Daripada 44 pesalah, 39 daripada mereka adalah rakyat Sarawak, manakala tiga adalah dari Sabah dan dua dari Terengganu. "Walaupun Ops Warta telah bermula hari ini, kita masih menggalakkan pesalah trafik tampil untuk menyelesaikan saman mereka," katanya.