suria

Teliti Keberkesanan Hapus 'Sistem Barter' Di Sabah - Shafie

Mohd Shafie Apdal.

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta supaya cadangan untuk menghentikan aktiviti perniagaan menggunakan sistem pertukaran (barter) antara rakyat di Sabah dan warga Filipina perlu diteliti keberkesanannya sebelum dilaksanakan bagi menjamin kejadian penculikan di negeri itu tidak berulang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, ketika ini, sebarang inisiatif atau langkah pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti penculikan ini membimbangkan rakyat terutama dari segi keselamatan.

“Kesannya cukup berat, bukan sahaja dari segi pelancongan tetapi juga keselamatan masyarakat di kawasan itu berikutan kejadian (penculikan) sebelum ini.

“Apa sahaja yang dilakukan pihak berwajib, ia perlu dilaksanakan dengan berkesan supaya kejadian sama tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Anugerah Ilham Desa Peringkat Kebangsaan 2015 di Sri Pentas di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin bahawa aktiviti perniagaan yang berasaskan ‘sistem barter’ yang diamalkan di perairan Sabah dan selatan Filipina perlu dihentikan bagi mengekang aktiviti penculikan dan jenayah rentas sempadan.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, ketelitian dari aspek keberkesanan cadangan tersebut bertujuan untuk memberi keyakinan kepada rakyat dan pelancong di Sabah mengenai jaminan keselamatan di negeri itu.

“Sehubungan itu, apa juga inisiatif perlu diperincikan sebab kita tak nak ia (penculikan) berlaku lagi, kita ada sebut nak ambil tindakan tetapi berlaku juga kejadian-kejadian seumpama ini.

“Jadi, saya berharap ia (cadangan hapus sistem barter) dapat mengatasi masalah. Kita selaku penduduk setempat akan memberi sokongan penuh terhadap apa sahaja langkah yang berkesan supaya kesudahannya kita dapat banteras kegiatan itu,” katanya.

Tambah Mohd Shafie, beliau berharap adanya kerjasama dari Filipina untuk mengawal kedatangan rakyat mereka yang mencereboh persempadanan Malaysia.

“Perlu adanya tindakan tegas. Dan kita sebagai pengerusi Asean, perkara ini menjadi satu agenda yang perlu kita tekankan,” katanya.

Mohd Shafie Apdal

Artikel Lain