IPOH: Video yang memperlihat seorang bayi didera yang menjadi viral sejak beberapa hari lalu merupakan rakaman kes lama. Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) Ipoh, Supt Anuar Othman berkata suspek yang merupakan ibu bayi tersebut turut membuat rakaman lain. "Jadi tidak ada kes penderaan baharu," katanya. Rakaman berdurasi 52 saat itu yang memaparkan bayi tersebut dicampak atas katil dan digoncang serta dilambung seorang wanita menjadi viral di Facebook dan WhatsApp. Kes tersebut pada mulanya dilapor pada 19 April lepas. Beliau berkata mahkamah telah memerintahkan bayi berkenaan diserah untuk jagaan neneknya dengan diselia Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Bayi tersebut kini dalam keadaan sihat dan hasil pemeriksaan doktor mendapati tiada sebarang kecederaan padanya," katanya. Anuar berkata ibu bayi tersebut yang berumur 17 tahun telah diberi kaunseling dan kertas siasatan kes telah dirujuk kepada pihak pendakwa raya.