KUALA LUMPUR: "Kalau sudah tidak ada keyakinan terhadap saya pecat sahaja saya," demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi kepada segelintir pihak yang mempertikaikan kredibilitinya dalam melaksanakan tugas tersebut dengan telus. Asmuni berkata, pihak tersebut boleh mengemukakan satu cadangan dalam mesyuarat jawatankuasa untuk memecat beliau. "Saya terguris jugalah dengan kata-kata sebegitu... jadi kalau tidak ada keyakinan pecat sahaja saya. "Boleh sahaja... sempat sahaja. Esok pemilihan, hari ini pun boleh buang saya. Tidak ada masalah," katanya pada sidang media pengumuman calon bertanding dalam pemilihan parti itu yang akan diadakan pada Muktamar PAS kali ke-61 bulan depan. Pada 28 April lalu, M. Shukrimun Shamsudin mendakwa ada suara dalam parti itu yang mahu Asmuni dipecat kerana rekod buruknya pada pemilihan PAS yang lalu. Pemilihan PAS pada 2013 berlaku sedikit kekecohan apabila keputusan jawatan Naib Presiden PAS akan diumumkan keesokan harinya berikutan pengiraan semula untuk pengundian jawatan tersebut. Mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, Asmuni berkata, adalah tidak adil untuk terus mempertikaikan kredibilitinya memandangkan pemilihan parti belum diadakan. "Tunggulah dulu... tidak adil untuk buat penilaian awal, saya diamanahkan lakukan tugas berat oleh Jawatankuasa Pusat untuk melaksanakan tugas ini dengan seadilnya. Saya tidak kira siapa yang menang, siapa yang dipilih itu bukan hak saya. Itu hak pemilih. "Kita buat kerja dahulu... kita adakan mesyuarat hampir tiap malam untuk memastikan segalanya lancar. Kalau ada cadangan baik berilah, jangan main tembak tidak adil," katanya dalam nada marah. Malah untuk mengatasi insiden itu daripada berulang, Asmuni berkata, keputusan pemilihan untuk jawatan tertinggi akan diumumkan selepas pengiraan dilakukan. "Kita cuba untuk umum pada hari yang sama walaupun pukul 3 pagi. Adakah anda sedia buat liputan? Ini hanya perancangan awal tapi mungkin ada perubahan. Saya nak elak kebocoran," katanya. Menurut Asmuni, beliau pernah mengusulkan cadangan tersebut sebelum ini tetapi ia ditolak banyak pihak menyebabkan pengumuman keputusan pemilihan diumumkan keesokan harinya. "Saya dah cuba buat tahun sudah tapi tak dapat sokongan banyak pihak... jadi ditangguh pada hari berikutnya. Umno dahulu pun Mahathir umum kemenangan pukul 4 pagi... saya tidak katakan ikut Umno tapi pada saya itulah yang paling baik," katanya.